Islam Agama Cinta Ilmu Pengetahuan.

Nabi Muhammad banyak memperingatkan umat Islam akan hakikat ini menerusi banyak hadisnya. Di antaranya: “Menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap umat Islam (lelaki dan perempuan)”.

Daripada hadis di atas, jelas bahawa Islam adalah addin yang cintakan ilmu pengetahuan. Islam dan ilmu tidak boleh dan tidak sepatutnya dipisahkan. Malah kepentingan ilmu ini dapat dikesan kepada penciptaan manusia pertama iaitu Nabi Adam menerusi wahyu Allah dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya, jika kamu golongan yang benar”. Malaikat itu menjawab: “Maha Suci Engkau (ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jugalah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”. Allah berfirman: “Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka”. Maka selepas Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: “Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan.”

 

 

Ilmu pengetahuan itu memberikan kelebihan kepada manusia berbanding makhluk lain.

Ulasan ahli tafsir mengenai firman Allah ini merumuskan bahawa ilmu pengetahuan itu memberikan kelebihan kepada manusia berbanding makhluk lain. Manusia dikurniakan akal fikiran, anugerah Allah yang tidak diberikan kepada makhluk lain.

Oleh itu, akal fikiran yang dianugerahkan Allah ini sewajarnya digunakan dengan sebaik-baiknya dengan mengisinya dengan ilmu pengetahuan berguna. Jika ini tidak dilakukan, maka akan sia-sia akal fikiran yang dimiliki manusia.

Dalam al-Quran juga diperjelaskan bahawa martabat orang berilmu itu tinggi dan mereka mempunyai kelebihan berbanding orang tidak berilmu. Firman Allah maksudnya:

“(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya?” Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna.”

Seterusnya martabat dan kedudukan orang berilmu pengetahuan diperjelaskan lagi oleh Allah dalam satu lagi ayat al-Quran, yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang daripada tempat duduk kamu (untuk orang lain), maka lapangkanlah seboleh-bolehnya, supaya Allah melapangkan (serba-serbinya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun, maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan.”